Mula-mula menjelajah
Kemudian menjajah
Penjarah semakin ghairah
Mencipta sejarah
Bercita-cita pengarah
Masih ada anak bangsaku
Tersesat mencari arah
Hala di tuju hanya satu daerah
Hingga kering keringat diperah
Walau jiwa parah
Harus menyerah…
Masih ada anak bangsaku
Menjilat tangan pengarah
Hingga ke tapak kaki
Berbalik ke buku lali
Masih lagi bermimpi
Di siang hari
Masih belum menyedari
tujuan hakiki
Nikmat sebenar jati diri
Masih adakah anak bangsaku
Berani bangkit menyulam utuh maruah
Atau menyimpul saja amarah
Tunduk akur dan pasrah
Tatkala ugama diperlekeh.. diarah
Kian jauh menelusuri
Sengaja tidak mahu mengerti
Alur alpa tanpa peduli
sebuah taman madani..
Masih adakah anak bangsaku
Kembali membangkit semangat jati diri
Kembali ke akar umbi
Tunjang hak asasi
Menginsafi diri
Menghayati…
Tafsir firman Ilahi
Serta hadis Nabi..
Dalam menggarisi tatabicara aturcara
Wawasan ugama, bangsa dan negara
No comments:
Post a Comment