Tuesday, May 03, 2011

SALAM BUAT SAHABAT


Sungguh...
Dengan marhaban rasa
Ku gubah bebait kekata
Tika jemari masih terdaya
Tika ilham masih sudi menjelma

Sungguh...
Dengan qasidah sendu
Ku lakar madah rindu
Tika ukhwah masih kukuh bersatu
Tika salam singgah buatmu

Sungguh...
Dengan pertemuan semalam
Ku pamer keakraban bersemayam
Terpahat sejarah silam
Dari anyaman seni
Bertaut di perdu nurani
Keikhlasan sutera budi

Sungguh...
Andainya aksara bicara
Mengundang gerimis di jiwa
Tika rasa meramas sukma
Tika masa mengadun canda
Kemarin, kini dan selamanya..
Usah kau tanya mengapa..
Kerana...
Itulah getar kenangan
Memaut di antara keyakinan
Melangkah pada kebenaran
Keimanan tunjang ketabahan
Kesabaran tunggak kehidupan

Demikian...
Lewat fitrah kejadian...
Tika taqwa meranum di perkebunan hayat
Tika redha berputik rahmat
Mengaromakan salam buat seorang sahabat...

No comments:

Post a Comment